Enjin Baru Proton Siap Pada 2011
NORWIRCH (United Kingdom), 2 Okt (Bernama) — Proton Holdings Bhd
menjangka enjin menggunakan alat pemampat tekanan kilas tinggi baru,
enjin Berprestasi Lebih Tinggi Proton, akan siap pada 2011. Pengarah
bahagian kejuruteraan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Ir Tajul
Zahari Abu Bakar berkata enjin berkenaan dibangunkan dengan kerjasama
Proton dan Lotus Engineering, dengan penglibatan aktif jurutera dan
vendor Malaysia.
“Daripada pelbagai bahagian unit atau bahagian khas enjin, 50
peratus komponen secara asasnya dibekalkan dan dimajukan bersama-sama
dengan pembekal Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia pada
taklimat media mengenai enjin berkenaan di sini pada Khamis. “Ini
merupakan aktiviti penting kerana objektif pembangunan enjin ini pada
dasarnya untuk menambah baik enjin serta pemindahan teknologi untuk
Proton serta pembekal Malaysia,” jelas beliau sambil menambah bahawa
kira-kira 70 jurutera terlibat dalam pembangunan enjin.
Tajul Zahari berkata enjin baru itu mempunyai kapasiti 1,600 cc dan
prestasinya bersamaan dengan enjin 2,000 cc. Engin berkenaan
menjanjikan pemanduan hebat dengan ekonomi, prestasi dan pelepasan asap
yang dipertingkatkan, katanya. Beliau berkata enjin berkenaan yang
dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di
sini hari ini telah diuji dalam semua keadaan cuaca dan ia sesuai untuk
sebarang gred bahan api termasuk RON 95 dan RON 97.
Tajul Zahari berkata enjin itu juga akan digunakan untuk model
kereta masa depan Proton serta untuk pasaran eksport. “Selain
menghasilkan pelbagai paras pelepasan asap serta perundangan untuk
pelbagai pasaran, enjin ini juga direka bentuk bagi memastikan ia
mempunyai penyenggaraan rendah serta kemampuan perkhidmatan yang lebih
baik. Ini penting untuk menjadikan kos pemilikan kepada pelanggan akan
lebih rendah,” katanya.
Sumber dari BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)